11 parti politik luar blok kerajaan umum pembentukan Ikatan Prihatin Rakyat

 KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 parti politik yang berada di luar blok kerajaan hari ini mengumumkan pembentukan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

Gabungan tersebut dalam satu kenyataan bersama berkata, tema perjuangan mereka adalah ‘Selamatkan Malaysia’.

Parti tersebut terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), BERJASA, Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan 11 pemimpin parti itu, mesyuarat yang diadakan hari ini turut mengambil ketetapan untuk menganjurkan Kongres Nasional IPR awal tahun depan.

“(Ia) bagi menegaskan pendirian IPR dalam menangani isu-isu rakyat dan menyelamatkan Malaysia dari terus terhumban dan tercicir dalam persaingan rantau dan global.

“Sekretariat IPR ditubuhkan untuk melihat konsep dan semua aspek kehidupan masyarakat untuk dibincangkan dalam kongres ini,” kata kenyataan bersama itu, malam ini.

Comments

Popular posts from this blog

10 Sebab Mengapa Perlu Undi PAS

PAS Pahang umum calon Gagasan Sejahtera